Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Pages

Tuesday, December 09, 2014

Dimanakah Suaramu..... ?

15 Julai 2006, adalah tarikh yang paling bermakna dalam lipatan sejarahku sebagai seorang pekerja. Rezeki aku, aku bekerja di atas pasak syarikat yang baru sahaja terbina. Malah aku bertuah kerana aku adalah antara nama yang menjayakan kewujudan syarikat Jana Damai Sdn Bhd. 

Terima kasih kepada orang yang optimistik untuk menjayakan kewujudan platform yang diniatkan untuk mengubah sesuatu terhadap dunia politik negara kita. Aku tidak mahu dilihat keterlaluan untuk mengungkitkan kisah ini kerana tanpa ungkitan ini, pendokong politik pembangkang diluar sana tidak tahu akan kewujudan platform ini.

Pada mulanya, sudah ada Harakah ataupun Siasah yang mempelopori platform ini, tapi kewujudan Jana Damai ini menyebabkan tercetusnya idea untuk mewujudkan TVPAS. Pada mulanya nama lain telah dicanangkan untuk nama TV Internet ini, tetapi demi menghormati orang atasan, nama TVPAS telah diangkat. 

Rentetan nama ini, beberapa tenaga kerja yang pada mulanya anak muda yang baru bertatih di alam pekerjaan dan juga di alam dunia politik aliran pro-pembangkang, telah dilatih oleh satu nama yang agak besar di dunia media satu masa dahulu. Aku adalah salah seorangnya yang bertuah kerana mendapat ilmu yang amat bernilai di dunia kewartawanan.

Bermula dari kewartawanan, aku telah ditambah nilai dengan kemahiran yang lain, iaitu jurukamera, penyunting video, multi-camera-production dan streaming live. Pada masa itu, internet baru mencecah tahap kekuatan streamyx dan kebanyakan rakyat masih mempunyai keterbatasan untuk memiliki internet yang berkekuatan streamyx.

Youtube, masih terbatas kekuatan servernya untuk membenarkan penggunanya memuat naik video. Hanya lingkungan 5 minit sahaja. Mahu tidak mahu, pihak TVPAS terpaksa menyewa server untuk memuat naik video dan pengguna di Malaysia khasnya dan pengguna dunia amnya, boleh menonton secara percuma melalui TVPAS.com. Kosnya bukannya sikit, tapi platform ini mampu melakukannya, sekurang-kurangnya untuk pilihanraya umum 2008.

Dengan kewujudan medium ini, beberapa nama dan pemimpin dalam PAS berjaya ditonjolkan, malah selepas pilihanraya 2008, kebanyakan nama yang ditonjolkan itu berjaya mendominasi kerusi dewan undangan negeri mahupun dewan rakyat. Ya, kami tersenyum dengan apa yang terjadi, syukur Alhamdulillah.

Selain itu, kemahiran yang aku dapat dari media ini juga makin menjadi dan ramai anggota asal dari platform ini telahpun membawa halatuju masing-masing demi politik tanahair. Ya, tangan belakang tabir ini, tiada siapa yang tahu. 

Kini, anggota yang tinggal sudah hampir 90 peratus telah berkelana, termasuklah aku. Keputusan untuk berkelana bukannya suatu keputusan yang mudah. Namun, aku berfikir, aku perlu pergi untuk meningkatkan kemahiran aku. Malah aku pernah beritahu kepada ketuaku pada masa itu, aku akan kembali suatu hari nanti.

Pendek kata, aku telah cuba untuk kembali, namun apa yang aku miliki sekarang ini, tidak mampu lagi ditampung oleh pengurusan yang ada. Kini, anggota asal berkemungkinan besar akan 100 peratus  akan berkelana,...........

Ya, ini satu berita yang menyedihkan aku. Platform ini, umpama rumah usang yang menunggu untuk dikosongkan dan ditinggalkan. Akhirnya, platform yang diwujudkan secara bersistem ini hanyalah kenangan yang telah banyak berjasa dalam arena politik pembangkang khasnya. 

Bagaimana pula dengan sekarang ? Bukankah, masih ada lagi platform yang diwujudkan oleh kumpulan tertentu untuk media politik pembangkang ? Ya, betul masih ada yang diwujudkan oleh kumpulan atau pendokong parti, tetapi ia berselerak dan tidak berpusat secara hitam putih. Adakah ia bergerak secara konsisten dan tersusun untuk menangkis serangan media arus perdana ? Aku kira tidak. Semuanya atas ehsan kewangan masing-masing. 

Kini, aku lihat media Harakah juga makin ke arah sebagaimana yang dihadapi oleh TVPAS, satu ketika dahulu. Seseorang perlu diberi amanah untuk tujuan ini. Satu ketika dahulu, peratus pacuan cukup tersusun, kini walaupun memiliki facebook atau twitter, hatta Instagram sekalipun, kenyataan yang diberikan oleh pimpinan haru-biru, malah pihak kerajaan pusat tersenyum lebar dengan gaya politik pembangkang mutakhir ini. Ya, kita sedang mundur ke belakang.