Bersuara salah, tidak bersuara pun salah, akhirnya serba parah !
Hakikat ini perlu kita amati dan faham dengan lebih cermat jikalau mahu bersuara dengan lebih vokal dan lebih berintonasi. Alhamdulillah,pelajaran awal arwah ibu aku sejak aku masih kecil lagi, masih disemat hingga ke hari ini, bahawa seandainya sesuatu yang salah pada pemahaman kita, ubahlah dengan tanganmu, jika tak boleh, gunalah lidahmu, jika tak boleh juga, gunalah hati mu.
Namun, untuk aplikasi dalam kehidupan agak rumit dan perlukan strategi untuk melakukannya. Apatah lagi, jika kita masih 'junior' dalam sesuatu organisasi itu.
Dalam sesebuah organisasi itu pula, biasanya mempunyai tukang ampu, yang ampuh membodek ketuanya tanpa mengira betul atau salahnya. Akibatnya, tukang membuat kerja yang tidak mahu ambil peduli politik pejabat, akhirnya menjadi mangsa. Keadaan ini, sentiasa berlaku.
Berbalik kepada diriku. Aku yang 'malas' mengambil tahu hal ehwal politik pejabat, akhirnya merasai peritnya dipolitikkan oleh tukang ampu yang ampuh disisi ketua. Soalnya, perlukah kita menjadi pengampu seperti tukang ampu itu untuk membetulkan keadaan ? Rasanya api tak usah dilawan dengan api, takut nanti terbakar diri.
Tahniah kepada tukang ampu itu yang berjaya mempunyai pangkat untuk memijak orang dibawahnya, juga mempunyai kuasa untuk menutup pandangan ketuanya dari kepompong diluar lingkup kebiasaannya.
Dulu pernah seorang yang ku anggap sifu dalam bidang yang ku ceburi kini, meminta aku ke hadapan untuk menjadi ketua dan secara langsungnya berjinak dengan politik pejabat. Namun aku menolak, kini orang yang bukan ahlinya ke hadapan untuk memegang tanggungjawab itu.
Akibatnya, organisasi itu carcamarba dan aku merasa sekarang ini, bahawa perlu juga aku menjadi Imam sekiranya jemaah memerlukan aku disitu dan dalam masa yang sama bersedia menjadi makmum seandainya jemaah memerlukan aku berbuat demikian.
Itu peristiwa lampau sebelum aku membuat keputusan untuk berpindah tempat kerja. Sekurang kurangnya apa yang berlaku ke atas diriku sekarang ini, menyedarkan aku bahawa, tidak salah untuk ke hadapan untuk memimpin sesuatu organisasi dengan niat kerana Allah.
Maaf 'sifu'....
0 comments:
Post a Comment